Wednesday, March 18, 2009

Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan pada Januari 2003 bertujuan melahirkan kumpulan pelajar yang berkebolehan menulis, memahami dan berfikir dalam bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek ini. Ini kerana di peringkat universiti atau pengajian tinggi banyak buku dan makalah dalam kedua-dua subjek ini diterbitkan dalam bahasa Inggeris.
Dalam kata lain matlamat utama PPSMI ialah untuk melahirkan kumpulan pelajar yang menguasai ilmu terkini dalam kedua-dua bidang. Ia juga bertujuan melahirkan tenaga akademik yang berupaya menulis di dalam jurnal antarabangsa dan tenaga kerja yang memenuhi tuntutan pasaran kerja.
Di samping itu, PPSMI diharap dapat melahirkan generasi muda yang berkebolehan menggunakan bahasa Inggeris dengan lebih baik.
Saban tahun polemik ini tidak pernah padam. Pendapat dan alasannya pelbagai. Yang menyokong melihat dari sudut kepentingan generasi muda menguasai bahasa Inggeris dengan baik dalam menghadapi arus globalisasi.
Yang menentang pula melihat dari sudut penghakisan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama Malaysia dan juga sebagai bahasa pengantar di Institut Pengajian Tinggi Awam.
Yang berbelah bagi ialah ibu bapa dan anak-anak yang terpaksa menghadapi secara langsung kesan kepada sistem ini. Bagi golongan Melayu kelas elit dan pertengahan mereka kurang menghadapi masalah dasar ini kerana anak-anak mereka telah pun didedahkan dengan pengajaran dalam bahasa Inggeris sejak di tadika lagi.
Bagi kebanyakan orang Melayu, anak-anak mereka masih berfikir, bercakap, menulis dan membaca dalam bahasa Melayu. Jika dulu ramai anak-anak Melayu merasa terasing dan sering tidak berminat dengan kelas bahasa Inggeris, hari ini sudah menular pula ke kelas matematik dan sains. Selain tidak faham, mereka juga merasa rendah diri dengan kekurangan dalam penguasaan bahasa Inggeris.
Kita memahami hasrat kerajaan untuk melakukan kejutan budaya terhadap anak-anak di sekolah dan juga ibu bapa. Memang benar, jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Lebih-lebih lagi kepentingan dalam daya saing era ekonomi global.
Ramai Ibu bapa juga mahu anak-anak mereka mahir dalam bahasa Inggeris. Tapi apakah bahasa Inggeris lebih penting dari kemahiran hidup seperti ilmu hisab (matematik) dan sains? Tentu ramai ibu bapa pelajar tidak mahu yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran kelak.

Oleh kerana matematik dan sains juga merupakan mata pelajaran teras dalam peperiksaan (dan juga ketika memohon kebanyakan pekerjaaan yang baik) , kita khuatir jurang di kalangan generasi muda bandar dan luar bandar akan bertambah jauh ter sisi dan terasing.
Kita memang akui kepentingan kemahiran bahasa Inggeris. Namun telah jelas setelah enam tahun ia dilaksanakan tentangan terhadap PPSMI bukan kian mengecil malah kian membesar. Ini menunjukkan bahawa kepercayaan terhadap kemampuan PSSMI membina generasi muda yang lebih baik kian terhakis.
Di samping itu, memandangkan telah beratus juta dibelanjakan untuk sistem PPSMI ini maka ia harus terus dieksploistasi sebaik mungkin. Justeru, saya ingin mencadangkan agar kementerian pelajaran meneruskan dasar PSSMI ini dengan melihat pelaksanaannya kembali dengan melakukan penambahbaikan pelaksanaan seperti sebagai satu kelas tambahan selama dua atau tiga jam seminggu untuk setiap tahap pengajian bermula tahun satu.
Dengan cara ini pelajar akan mendapat keuntungan maksima dari segi penguasaan Matematik dan Sains dan juga penguasaan bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek ini.
Jika penguasaan bahasa Inggeris yang menjadi isu, maka sukatan pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri perlu dirombak dan dicari kaedah yang lebih baik dan berkesan termasuk memperkenalkan mata pelajaran kesusasteraan Inggeris di peringkat lebih awal.

Namun kita berharap keputusan yang dibuat oleh kerajaan lebih drastik dan konkrit kerana jika dasar PPSMI di diteruskan apakah kesan jangka panjang atau berapa ratus juta lagi yang diperlukan dan jika dihentikan berapa ratus juta pula yang lesap tanpa manfaat diperolahi dari dasar ini.