Wednesday, March 18, 2009

Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris

Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diperkenalkan pada Januari 2003 bertujuan melahirkan kumpulan pelajar yang berkebolehan menulis, memahami dan berfikir dalam bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek ini. Ini kerana di peringkat universiti atau pengajian tinggi banyak buku dan makalah dalam kedua-dua subjek ini diterbitkan dalam bahasa Inggeris.
Dalam kata lain matlamat utama PPSMI ialah untuk melahirkan kumpulan pelajar yang menguasai ilmu terkini dalam kedua-dua bidang. Ia juga bertujuan melahirkan tenaga akademik yang berupaya menulis di dalam jurnal antarabangsa dan tenaga kerja yang memenuhi tuntutan pasaran kerja.
Di samping itu, PPSMI diharap dapat melahirkan generasi muda yang berkebolehan menggunakan bahasa Inggeris dengan lebih baik.
Saban tahun polemik ini tidak pernah padam. Pendapat dan alasannya pelbagai. Yang menyokong melihat dari sudut kepentingan generasi muda menguasai bahasa Inggeris dengan baik dalam menghadapi arus globalisasi.
Yang menentang pula melihat dari sudut penghakisan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama Malaysia dan juga sebagai bahasa pengantar di Institut Pengajian Tinggi Awam.
Yang berbelah bagi ialah ibu bapa dan anak-anak yang terpaksa menghadapi secara langsung kesan kepada sistem ini. Bagi golongan Melayu kelas elit dan pertengahan mereka kurang menghadapi masalah dasar ini kerana anak-anak mereka telah pun didedahkan dengan pengajaran dalam bahasa Inggeris sejak di tadika lagi.
Bagi kebanyakan orang Melayu, anak-anak mereka masih berfikir, bercakap, menulis dan membaca dalam bahasa Melayu. Jika dulu ramai anak-anak Melayu merasa terasing dan sering tidak berminat dengan kelas bahasa Inggeris, hari ini sudah menular pula ke kelas matematik dan sains. Selain tidak faham, mereka juga merasa rendah diri dengan kekurangan dalam penguasaan bahasa Inggeris.
Kita memahami hasrat kerajaan untuk melakukan kejutan budaya terhadap anak-anak di sekolah dan juga ibu bapa. Memang benar, jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Lebih-lebih lagi kepentingan dalam daya saing era ekonomi global.
Ramai Ibu bapa juga mahu anak-anak mereka mahir dalam bahasa Inggeris. Tapi apakah bahasa Inggeris lebih penting dari kemahiran hidup seperti ilmu hisab (matematik) dan sains? Tentu ramai ibu bapa pelajar tidak mahu yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran kelak.

Oleh kerana matematik dan sains juga merupakan mata pelajaran teras dalam peperiksaan (dan juga ketika memohon kebanyakan pekerjaaan yang baik) , kita khuatir jurang di kalangan generasi muda bandar dan luar bandar akan bertambah jauh ter sisi dan terasing.
Kita memang akui kepentingan kemahiran bahasa Inggeris. Namun telah jelas setelah enam tahun ia dilaksanakan tentangan terhadap PPSMI bukan kian mengecil malah kian membesar. Ini menunjukkan bahawa kepercayaan terhadap kemampuan PSSMI membina generasi muda yang lebih baik kian terhakis.
Di samping itu, memandangkan telah beratus juta dibelanjakan untuk sistem PPSMI ini maka ia harus terus dieksploistasi sebaik mungkin. Justeru, saya ingin mencadangkan agar kementerian pelajaran meneruskan dasar PSSMI ini dengan melihat pelaksanaannya kembali dengan melakukan penambahbaikan pelaksanaan seperti sebagai satu kelas tambahan selama dua atau tiga jam seminggu untuk setiap tahap pengajian bermula tahun satu.
Dengan cara ini pelajar akan mendapat keuntungan maksima dari segi penguasaan Matematik dan Sains dan juga penguasaan bahasa Inggeris dalam kedua-dua subjek ini.
Jika penguasaan bahasa Inggeris yang menjadi isu, maka sukatan pelajaran bahasa Inggeris itu sendiri perlu dirombak dan dicari kaedah yang lebih baik dan berkesan termasuk memperkenalkan mata pelajaran kesusasteraan Inggeris di peringkat lebih awal.

Namun kita berharap keputusan yang dibuat oleh kerajaan lebih drastik dan konkrit kerana jika dasar PPSMI di diteruskan apakah kesan jangka panjang atau berapa ratus juta lagi yang diperlukan dan jika dihentikan berapa ratus juta pula yang lesap tanpa manfaat diperolahi dari dasar ini.

Monday, February 16, 2009

Penduduk Rayu Jalan Biah Scheme Dinaik Taraf

Keningau : Penduduk Rancangan Biah ( Biah Scheme) dijalan Keningau- Nabawan, merayu kerajaan agar menaik taraf jalan ke perkampungan itu serta menangani pelbagai masalah lain.

Penduduk mendakwa mereka telah lama mengharungi keadaan jalan raya yang teruk dan berhabuk ketika memandu kenderaan persenderiaan atau menumpang kereta sewa.

Kini mereka menghadapi satu lagi masalah, iaitu mendapatkan bekalan air bersih yang menambahkan lagi beban dihadapi penduduk.

Jalan raya menghubungkan Biah Scheme dengan jalan utama lebuh raya Keningau - Nabawan sejauh 4 kilometer itu, belum pernah dinaik taraf sejak sekian lama.

“ Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul,” demikian luahan rasa salah seorang penduduk, Karim Ansaroi, 50 sambil mengharapkan Ehsan daripada pihak berkuasa untuk memperbaiki keadaan.

Menurut Karim, Selain jalan raya yang teruk, masalah lain dihadapi para penduduk di kawasan berkenaan ialah bekalan air bersih di mana sungai-sungai berhampiran yang menjadi sumber utama mereka selama ini telah dicemari kesan dari aktiviti pertanian dan peladangan berhampiran.

“ Saya sendiri terpaksa mendapatkan air bersih keperluan harian daripada pejabat tempat saya bekerja di Keningau kerana tiada pilihan lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau merayu kepada pihak kerajaan agar segera mengambil tindakan memperbaiki keadaan.

Saya bagi pihak penduduk di sini juga merayu kepada kerajaan agar membekalkan tangki-tangki air bagi kegunaan penduduk sebagai langkah awal mengatasi masalah dihadapi,” katanya

Wednesday, February 4, 2009

Murut Pensiangan Calon BN Disokong

Nabawan : Cadangan bekas ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Taimin Lumaing. Supaya calon Barisan Nasional (BN) terdiri daripada anak jati Murut Pensiangan, jika pilihan raya kecil diadakan kelak mendapat sokongan pemimpin masyarakat di sini.

Ketua Pegawai unit Khas Persatuan Pengguna Sabah dan Labuan merangkap Ketua Penyelaras Operasi Zon Pedalaman Atas Keningau, Alixcius Mangka, berkata sememangnya kawasan Parlimen Pensiangan memerlukan pemimpin dari kalangan masyarakat Murut sendiri.

“Cadangan Taimin berhubung calon dari suku Murut Pensiangan, adalah sesuatu yang bermanfaat untuk masa depan kaum Murut di kawasan ini.

Sdah tiba masanya untuk Murut Pensiangan diberi kepercayaan menjadi wakil rakyat masyarakat mereka memandangkan selama ini Parlimen Pensiangan diterajui oleh orang luar dari pensiangan,” Katanya.

Beliau juga menyatakan kesediaan menyokong siapa saja calon yang diketengahkan BN asalkan ia orang tempatan bersuku Murut berasal dari Pensiangan.


Sumber Utusan Borneo

Wednesday, January 28, 2009

REALISASIKAN PEMBINAAN HOSPITAL NABAWAN


Kerajaan diminta menyegerakan pelaksanaan semula projek pembinaan hospital di daerah ini yang tergendala sekian lama sejak dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) lagi.

pembinaan hospital di daerah ini sangat penting bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan di kalangan penduduk yang semakin meningkat dan tanggungjawab sosial yang amat diperlukan masyarakat.

Kini sudah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), tetapi hospital daerah ini masih lagi belum dibina dan beluam ada bayangan pun.

Apakah status sebenar pembinaan hospital Nabawan yang terbengkalai sejak beberapa tahun ini sekarang. Apakah yang menyebabkan projek berkenaan tergendala dan tertangguh.

Dalam RMK-8, kerajaan Pusat merancang membina Hospital Nabawan di kawasan seluas 20 hektar yang telah dikenal pasti berhampiran dengan pekan nabawan hanya tinggal semak.

penduduk daerah ini amat memerlukan perkhidmatan rawatan yang selesa sama seperti hospital yang terdapat di bandar-bandar.

penduduk berharap penuh projek pembinaan hospital bagi daerah nabawan dapat direalisasikan secepat mungkin serta penduduk mahu pembinaan hospital ini menjadi kenyataan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat .

Sekarang ini hanya terdapat tiga buah pusat kesihatan di daerah ini iaitu pekan Nabawan, Pagalungan dan Pensiangan yang tentunya tidak dapat menampung kehadiran pesakit yang serius dan terpaksa dihantar ke keningau ini memerlukan jarak perjalanan yang jauh.