Sunday, December 7, 2008

Pensiangan Realiti Dan Harapan

Kawasan Pensiangan yang terletak jauh di Pedalaman negeri di bawah bayu meliputi kawasan Daerah Kecil Sook, Nabawan dan Daerah Kecil Pagalungan yang bersempadan dengan Indonesia iaitu Kalimantan yang masih mengekalkan hutan hujan tropika.

Penduduk Pensiangan terdiri daripada Suku Kaum Murut, Dusun, Cina dan lain-lain yang secara tradisinya masih mengekalkan budaya masyarakat tempatan yang kaya dan unik lagi mempersonakan tambahan lagi dengan sikap masyarakatnya yang bersopan santun, mesra, berbudi bahasa membuatkan ia satu lagi tarikan kepada masyarakat luar. Pastinya sesiapa sahaja yang berkesempatan datang ke sini menjadikan kunjungan penuh bermakna yang tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya.

Kehadiran tiga menteri persekutuan ke kawasan ini baru-baru membawa makna yang amat besar kepada penduduknya. Kawasan Pensiangan yang dikenali sebagai kawasan kedua termiskin di Sabah dijadikan sasaran untuk membawa perubahan pembangunan serta kemajuan oleh kerajaan pusat dan negeri.

Memulakan lawatan itu ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Mohd. Zin Mohamed yang telah meluangkan masa selama dua hari di kawasan ini. Beliau telah membuka lembaran baru bagi sejarah di kawasan tepencil ini sebagai Menteri pertama yang menjejakkan kaki ke kawasan ini khususnya bagi Kementerian Kerjaraya Malaysia. Beliau sendiri telah melihat dengan mata sendiri dan menikmati keadaan jalanraya di kawasan Pensiangan terutamanya Sepulut-Agis-Salong dan Pagalungan ke Simatuoh yang merupakan jalan balak.

Dengan diiringi Timbalan Menteri Kemajan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Tan Sri Joseph Kurup, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan, Datuk Bobbey Ahfang Suan dan ADUN Sook Datuk Ellron Angin, Mohd. Zin telah diberi penerangan mengenai kawasan Pensiangan yang jauh terpencil dan terasing di Ulu Pedalaman kerana tidak mempunyai jalan raya yang baik dan selesa. Hasil Lawatan itu, Pensiangan telah mendapat perhatian kerajaan pusat melalui Kementerian Kerja Raya dengan pengumuman yang cukup dinanti-nantikan penduduk di kawasan ini. Antaranya ialah Kajian Separuh Panggal Rancangan Malaysia KeSembilan (RMK-9) sebanyak RM 11 Juta diperuntukkan untuk merekabentuk, mengkaji, bagi jalan-jalan raya di kawasan Pensiangan. Jalan-jalan tersebut ialah Jalan Minawo, Jalan Biah Skim, Jalan Sepulut-Salong-Pagalungan-Pensiangan, Jalan Ansip-Dalit, Jalan Sook-Sinua, Jalan sodomon Malio dan Jalan Biah M4 Ring Road. Dimana kos keseluruhan jalan-jalan itu ialah RM429.6 juta.

Mohd. Zin telah berkata beliau akan datang sekali lagi ke Daerah ini dengan melawat Mukim Pensiangan yang memakan masa sejam dari Pagalungan dengan menaiki bot melalui sungai tagol untuk melihat sendiri keadaan jalan raya yang dipohon oleh wakil rakyat kawasan Pensiangan dan penduduk setempat bagi memberi keselesaan kepada rakyat yang telah memberikan sokongan penuh kepada Barisan Nasional.

Mohd. Zin juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta untuk memperbaiki serta membina jambatan menghubungkan sejauh 40km dari pusat pentadbiran Pejabat Daerah Kecil Pagalungan ke Simatuoh yang mana merupakan jalan balak .Mohd. Zin telah dibawa oleh Team Borneo Safari dari pagalungan dan melihat keadaan jalan raya yang merupakan jalan utama itu, Beliau turut memberikan RM50 ribu untuk membina Jeti yang dihanyutkan banjir di pangkalan salong.

Hasil lawatan Mohd. Zin itu telah memberi suntikan kepada penduduk Pensiangan agar tidak mempersiakan peluang pembangunan yang mereka bakal nikmati dengan menyokong BN secara berterusan.

Beliau berkata BN amat serius dan wajib mengotakan janji yang dibuat.

Kerajaan persekutuan dan negeri sentiasa berganding bahu dan saling bekerjasama untuk memakmurkan rakyat. Oleh itu, tidak ada sebab peranan dan tanggungjawab kedua-dua pihak dipisahkan, Katanya.

Lima hari kemudian pensiangan khususnya penduduk di Daerah Nabawan telah menjadi pusat pelancaran peringkat negeri bagi program Tayangan Layar Bestari dan perhimpunan rakyat Oleh Kementerian Penerangan Malaysia khususnya Jabatan Penerangan Malaysia, Sabah.

Program tersebut amat bersesuaian dan bertepatan dengan kawasan Nabawan dimana sebahagian besar kawasannya tidak mendapat jangkaun siaran radio kerajaan seperti RTM. Program Wayang Pacak atau lebih di kenali sebagai ‘ Wayang Piri’ dapat menyebarkan maklumat disamping memberi hiburan kepada rakyat yang digerakkan dari kampung ke kampung.

Menteri Penerangan Malaysia Ahmad Shaberry Cheek berkata, permintaan masyarakat dan pemimpin di kawasan ini agar siaran radio dan tv dapat dipertingkatkan akan diselesaikan dengan sedikit masa lagi.Sehubungan itu beliau telah memberi khabar baik seluruh rakyat kawasan pendalaman dengan pengumuman pembukaan operasi rasmi siaran radio keningau fm pada awal tahun 2009.

‘ Beri sokongan kepada pimpinan kita yang bertungkus lumus memberikan perhatian untuk memenuhi permintaan dan keperluan rakyat’ kata Shaberry yang turut berkata penduduk Pensiangan amat bertuah kerana wakil rakyat mereka mampunyai kedudukan yang baik di dalam kabinet persekutuan.

Menurut Shaberry dengan kedudukan Ahli Parlimen Pensiangan sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), sudah tentulah beliau memberikan keutamaan untuk memajukan kawasan yang diwakilinya.

Selang sehari selepas itu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Senator Tan Sri Muhammad Muhammad Taib telah melawat Nabawan bagi kali kedua tahun ini. Menteri itu telah diberikan taklimat pembangunan mengenai daerah ini keseleruhannya. Beliau kemudian menyempurnakan majlis penyerahan pendahuluan dividen FELCRA Kg. Pemuntirian kepada seramai 72 pesertanya dengan jumlah RM124,500.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap kemajuan dan pembangnan Luar Bandar, Muhammad menyeru rakyat agar terus berganding bahu dengan kerajaan yang ada kerana keutamaan dan perhatiaan diberikan kepada mereka melalui program KKLW.

Di majlis itu, Muhammad meluluskan peruntukan RM1 juta untuk menaiktaraf jalan-jalan kampung dan 100 Unit rumah dibawah skim bantuan rumah yang dikenali sebagai PPRT.

Muhammad Berkata, kawasan Parlimen Pensiangan akan dibantu membangunkan tanah-tanah terbiar dan sesuai serta pesertanya yang layak dengan kerjasama FELCRA atau konsep agropolitan seperti kejayaan KKLW di pulau Banggi.

Sehingga kini Daerah Nabawan mempunyai 2000 Ketua Isi Rumah Termiskin (KIRT) yang telah direkodkan.

‘Usaha ini dalam masa jangka panjang akan memberikan taraf hidup yang lebih baik kepada anak-anak melalui ibubapa, sesuai dengan matlamat kerajaan untuk membangnkan masyarakat luar Bandar sebagai kawasan produktif, maju, menarik dan ‘menguntungkan’, ujar Muhammad.

Dalam pada itu, Rakyat kawasan Pensiangan cukup bertuah kerana wakil rakyat mereka mempunyai hubungan yang baik dengan para pemimpin dari kerajaan persekutuan.

Kedatangan para menteri ini ke pensiangan membuktikan betapa seriusnya kerajaan BN untuk melihat taraf hidup rakyat dipertingkat,diperkasakan dan memberi kemudahan infrastruktur yang sewajarnya kepada rakyat. Ini adalah petanda dan pemulaan yang cukup baik kepada kawasan ini pensiangan.

Rakyat berharap lebih banyak projek-projek untuk memakmurkan rakyat terus ke kawasan ini. Begitu juga dengan perhatian kerajaan pusat agar sentiasa berterusan bagi
memaju dan memacu sumber ekonomi sekaligus mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan rakyat di kawasan ini dengan bantuan kerajaan pusat.

Dalam pada itu usaha semua wakil rakyat di kawasan ini supaya perancangan program agropolitan di Sumatalun dalam Mukim Pagalungan,program-program peningkatan ekonomi desa dan pembangunan yang memberikan hasil sosoekonomi kepada penduduk harus diberi focus perjuangan membela nasib rakyat.

Sebelum ini beberapa orang menteri mahupun timbalan menteri termasuklah Allahyarham Timbalan Menteri Pelajaran, Dato, Razali Ismail yang berkunjung ke SK Salinatan dan beberapa buah sekolah rendah di kawasan ini dalam usaha membangunkan modal insan.

Cakap-cakap juga kedengaran dalam masa terdekat ini Menteri Kesihatan Malaysia dijangka akan turun padang untuk melihat sendiri kedudukan perancangan hospital Daerah Nabawan yang terbangkalai sejak sekian lama yang juga salah satu projek yang amat bermakna dan sangat penting bagi penduduk pensiangan walaupun telah dijanjikan satu ketida dulu.

Kita di kawasan luar Bandar faham projek-projek pembangunan kerajaan tidak akan sampai dalam sekelip mata apatah lagi tempat kami ini masalah perhubungan pengangkutan adalah menjadi masalah utama.

Saya yakin dan berharap masa depan kawasan pensiangan akan berubah wajah kepada lebih ceria dan menjadi sinar baru yang memberi manfaat dan kesejahteraan kepada semua penduduknya. kerana harapan yeng menggunung disandarkan kepada pemimpin yang rajin dan sentiasa mendengan suara rakyat dan komited membela nasib rakyat.

Jauh di lubuk hati rakyat kawasan pensiangan yang telah lama impikan sampai bilakah kemudahan infrastruktur dan kemudahan asas untuk keselesaan akan menjadi realiti kepada masyarakatnya khususnya generasi muda.

Apakah segala ini akan menjadi langkah yang akan merubah wajah dan nasib rakyat kawasan pensiangan hanya masa yang akan menentukannya..Kita tunggu dan lihat.